
Perjanjian ART: Ini jawapan terhadap tuduhan Tun M ‘kerajaan korbankan kemerdekaan negara’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS), seumpama negara mengorbankan kemerdekaan.
Beliau berkata, dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak wajar diambil serius kerana ia berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
“Biarlah Tun Mahathir itu. Kenapa ganggu dia? Kalau dia marah, dia marah terus apa pun, jadi biarlah.
“Saya tak fikir kita patut serius dengan pandangan dia kerana dia itu bergantung kepada taklimat yang diberikan. Takkan dia nak teliti semua secara terperinci, mencerakin, menelusuri kandungan itu. Tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hari pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Korea Selatan.
Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa Malaysia telah mengorbankan kemerdekaan dengan membenarkan AS mengenakan kehendaknya menerusi perjanjian itu.
Manakala, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian itu mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang.
Menurut Anwar tuduhan itu bersifat politik semata-mata.
“Soal halal yang simple dia kata diserah kepada kerajaan Amerika. Kerajaan Amerika tidak ada unit halal, hanya bergantung kepada majlis Islam di sana dan saya bagi contoh tadi di Parlimen tentang badan Islam yang mengurus, jadi kita iktiraf badan Islam itu. Itu pun telah dikenalpasti oleh JAKIM.
“Begitu juga tentang penyerahan. Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada Amerika Syarikat, bagaimana boleh kita tangani FTA dengan negara China?
“Dalam mana-mana rundingan ada give and take, apalagi pelaburannya besar, hubungan dia besar. Tapi kita jaga maruah kita”, katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa setiap rundingan perdagangan antarabangsa termasuk melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan, sememangnya memerlukan timbang tara.
“Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada AS, bagaimana boleh kita tangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara China?
“Dan bagaimana hari ini kita boleh bincang dengan JS Link, dengan Lynas, (berkenaan) nadir bumi oleh syarikat Korea Selatan?,” soal Anwar.
Katanya, semua negara berunding dengan AS, berkenaan dengan tarif termasuk kuasa besar China.
“Dalam mana-mana perundingan ada tolak ansur, apatah lagi pelaburan dia besar, hubungan dia besar. Tapi kita jaga maruah kita,” ujarnya.
Anwar turut menegaskan pentingnya diplomasi yang matang dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pelaburan global.
Jelas Anwar lagi, beberapa pemimpin APEC yang ditemuinya menzahirkan kekaguman kepada Malaysia atas keupayaan mengimbangi hubungan dengan kuasa besar Amerika Syarikat dan China.
Kemampuan itu, kata Perdana Menteri, didorong nilai keberanian, kesabaran dan kebijaksanaan mengemudi dunia yang penuh ketegangan serta ketidaktentuan.-1/11/2025



