
Makin gawat…Saifuddin Abdullah pula kena mengadap Lembaga Disiplin Bersatu
Nampaknya makin hari makin parah…ibarat kata luka dalaman parti Bersatu terus merebak tanpa rawatan.
Apakah Ahli Parlimen Indera Mahkota,Pahang Datuk Saifuddin Abdullah pula akan terima nasib seperti Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat dari Bersatu?
Tandatanya ini muncul bila bekas Menteri Luar ini beritahu beliau diminta mengadap Lembaga Disiplin parti itu pada jam 2 petang 6 November 2025 di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
“Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang,” katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.
Saifuddin sebelum ini digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Beliau ligat mengkritik dan desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Presiden Bersatu.
Selain itu beliau juga desak Datuk Sri Azmin Ali digugurkan sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan Datuk Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan.
Saifuddin nampaknya seolah sudah set untuk langgar tembok dalam isu ini.
Beliau telah mengunakan contoh tindak tanduk Muhyiddin pernah mendesak bekas Presiden UMNO Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam UMNO suatu masa dahulu.
“Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa…meminta presiden berundur tidak menyalahi perlembagaan (Bersatu).
“Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia,” katanya lagi.
Pada ketika yang sama ,semalam berlegar surat bertarikh 23 Oktober yang dikatakan dihantar kepada Muhyiddin mengandungi tandatangan 16 Ahli Parlimen Bersatu yang membantah tindakan lembaga disiplin parti memanggil Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta pemecatan Wan Saiful dan penggantungan Ahli, Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Hamzah dikatakan mengambil keputusan untuk tidak hadir ke prosiding lembaga disiplin parti.
Enam belas ahli parlimen Bersatu berkenaan selain Saifuddin (Indera Mahkota) terdiri dari Khlir Mohd Nordan (Ketereh); Muhammad Islahuddin Abas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Zakri Hassan (Kangar).
Turut sama Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.
Saifuddin kata setakat ini mereka belum tanya pendirian dua Naib Presiden Datuk Ronald Kiandee dan Radzi Jidin .
“Kami sengaja tidak approach dua orang Naib Presiden yakni Ronald dan Radzi. Jadi, apa maksudnya… maksudnya daripada 25 ahli parlimen sekurang-kurangnya 19 tak bersetuju apa yang sedang berlaku,”katanya.- 3/11/2025



