TAHUKAH ANDA

FAM perlu keajaiban untuk menang kes tujuh pemain warisan di CAS

Tahukah anda daripada 54 kes yang dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) melawan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), badan bolasepak dunia itu menang kesemua sekali.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Christopher Raj menyifatkan sesuatu yang ajaib sekiranya FAM berjaya memenangi kes tersebut di CAS, selepas hukuman diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA dan kemudian dikekalkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, penilaian itu berdasarkan rekod kemenangan FIFA dalam kes yang dicabar di CAS sebelum ini.

“Satu keputusan yang ajaib kalau FAM menang di CAS. Jika melihat kepada fakta kes sebelum ini, apabila Jawatankuasa Disiplin FIFA menjatuhkan hukuman kepada persatuan bola sepak dan Tribunal FIFA pula mengekalkan keputusan itu, di CAS mereka tetap kalah.

“Pada tahun 2023 dan 2024, daripada 54 kes yang pergi ke CAS menentang FIFA, mereka menang semua. Maknanya begitu solid penulisan akta undang-undang FIFA. Apa pun, sebagai peminat dan penyokong bola sepak negara, sudah pasti kita mengharapkan FAM menang di CAS,” katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Rayuan itu berhubung hukuman yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Bagaimanapun, FAM menerusi kenyataan Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, memaklumkan bahawa badan induk itu akan membawa kes berkenaan ke CAS.

FAM mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas menerimanya, 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS.

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA itu bermakna FAM perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala hukuman penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,411) terhadap tujuh pemain terbabit kekal.

Mohd Yusoff berkata, FAM akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya untuk memfailkan rayuan ke CAS.

“Ini kali pertama FAM berdepan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan amat terkejut dengan keputusan itu. Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.-6/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button