
AGC fail keputusan terhadap bayaran ganti rugi kehilangan Amri, Raymod Koh
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintah kerajaan bayar ganti rugi kepada isteri Amri Che Mat dan keluarga Pastor Raymond Koh.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim, Jabatan ini akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan tersebut,” katanya dalam dua kenyataan berasingan pada Rabu.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri Amri selepas memutuskan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab ke atas kehilangan aktivis berkenaan pada 24 November 2016.
Perintah itu untuk membayar ganti rugi am dan teruk berjumlah RM2,000,000.00, ganti rugi teladan berjumlah RM1,000,000.00, ganti rugi khas berjumlah RM14,457.52 dan kos prosiding berjumlah RM250,000.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos adalah sebanyak RM3,264,457.52 beserta faedah kepada isteri aktivis tersebut, Norhayati Mohd Ariffin.
Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan saman isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin apabila mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan kepada prinsip imbangan kebarangkalian.
Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir dua jam itu, Tiang Joo berkata, pihak berkuasa juga telah melanggar hak Noorhayati untuk hidup seperti yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan apabila defendan gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan Amri.
Norhayati memfailkan saman itu bagi mendapatkan maklumat tentang nasib suaminya dan menuntut pampasan, berdasarkan dapatan laporan pasukan Petugas Khas.
Plaintif memfailkan saman terhadap kerajaan, PDRM dan empat yang lain dan menuntut ganti rugi teruk serta teladan atas kerugian yang dialaminya akibat kehilangan Amri pada tahun 2016 .
Beliau pada mulanya memfailkan saman terhadap 21 defendan, bagaimanapun menggugurkan saman terhadap 15 individu, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri antara 16 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018.
Hakim yang sama turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga Pastor Koh kerana terlibat dalam penculikannya, lapan tahun lalu.
Beliau mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi tersebut iaitu RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya.
Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Sehingga kini, beliau hilang selama 3,188 hari.
Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.-6/11/2025



