
MCMC terima 1,417 aduan bawah Seksyen 233 Akta 588 sejak 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima serta menyiasat sebanyak 1,417 aduan berhubung kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kesemua aduan yang diterima dan disiasat itu sejak 1 Januari 2020 sehingga 31 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta 588 adalah berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Menurut Fahmi, sebanyak 61 kes telah didakwa di mahkamah manakala 40 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM727,500.
“Sebanyak 167 kes dikeluarkan Notis Amaran dan baki 1,149 kes merangkumi kes yang masih dalam peringkat siasatan serta kes yang tidak diambil tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai jumlah individu yang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dari 2020 hingga 2025.
Seksyen 233 memperuntukkan hukuman bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, termasuk menyebarkan maklumat palsu, kandungan tidak sopan atau jelik, dan komunikasi yang mengancam.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sebanyak 545 kes telah direkodkan tahun ini setakat 31 Oktober lalu.
Katanya, 315 kes telah dicatatkan pada tahun 2024 manakala 155 kes sepanjang tahun 2023.
Pada 2022, sebanyak 157 kes direkodkan diikuti 57 kes (2021) dan 188 kes pada 2020.-7/11/2025



