
PRN Sabah: 41 calon BN diumum….Bung Mokthar kata senarai itu belum muktamad
Senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihanraya negeri Sabah ke 17 di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan pada Ahad.
Namun Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin kata senarai berkenaan belum muktamad.
Katanya beliau akan mengumumkan sekitar lima hingga enam lagi kerusi DUN kemudian menjadikan jumlah keseluruhan yang akan ditandingi BN sekitar 47 hingga 48 kerusi.
DUN Sabah semuanya ada 73 kerusi. Enam lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, kesemua kerusi yang akan diumumkan dalam masa terdekat dan terdiri daripada kerusi dari beberapa kawasan DUN.
“Bakinya itu ada beberapa tempat, saya akan umumkan beberapa hari. Sekitar lima hingga enam kerusi. Ada strategi lain, kerusi istimewa… sampai masa nanti saya beritahu (kenapa istimewa),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumumam calon di bangunan UMNO, di Kota Kinabalu.
Bung Moktar juga kata BN Sabah telah mengesahkan penyertaan dalam PRN17 dengan menggunakan lambang keramat iaitu dacing.
Selepas melalui proses perundingan, penelitian dan penilaian menyeluruh, BN Sabah akan menampilkan calon-calon bagi menggalas amanah parti pada PRN kali ini.
“Calon-calon ini merupakan gabungan terbaik dan yang berpengalaman berwibawa, berketrampilan dan mempunyai rekod berkhidmat kepada rakyat.
“Mereka dipilih bagi membawa agenda pembaharuan untuk negeri Sabah yang berpaksikan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Katanya, lebih 30 peratus calon yang diumumkan mewakili golongan muda membuktikan kepentingan BN memperkasa penglibatan generasi ini dalam membawa suara anak muda dalam pertahankan kerajaan negeri, khususnya dalam menerajui agenda pekerjaan berkualiti, inovatif, digital berkepupayaan belia dan ekonomi setempat.
“Calon BN yang ditengahkan juga diperkukuhkan dengan tahap pendidikan yang tinggi yang majoriti mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah PHD dan dua orang adalah doktor perubatan.
“Ini membuktikan bahawa calon-calon yang ditawarkan bukan sahaja berpengalaman tetapi juga berkualiti dari segi intelektual dan profesionalnya malah mampu menerajui agenda ekonomi, teknologi serta pembangunan sosial negeri dengan lebih kompiten dan berwibawa,” katanya.
Selain Bung Mokthar sendiri yang akan bertanding di kerusi DUN Lamag dua lagi orang kuat BN Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan akan bertanding di kerusi Tempasuk manakala Datuk Seri Salleh Said Keruak kerusi Usukan.
BN akan menampilkan calon untuk mencabar pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu pengerusinya Datuk Hajiji Noor, dan presiden sementara Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam.
Dr Shahnon Rizal Thajuddin akan bertanding di kerusi Sulaman yang disandang Hajiji, manakala ahli PBRS, Japirin Sahadi akan menentang Gunsalam di Kundasang.
Senarai calon yang diumumkan ialah bagi kerusi DUN Banggi, Normah Rasik; DUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi; DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; DUN Tanjung Kapur, Kevin Lee Sip Kin; DUN Pintasan, Tadzul Radim, DUN Tempasuk, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; DUN Usukan Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak; DUN Sulaman Dr Shahnon Rizal Thajuddin; DUN Pantai Dalit, Alfian Sambas dan DUN Karambunai, Datuk Yakubah Khan.
Bagi DUN Darau diwakili Arfansyah Abdu Gafar, DUN Tanjung Keramat, Jeffery Noor Mohamed, DUN Kawang Datuk Jamal Norubit @ Nerub, DUN Pantai Manis Redzuan Ismail @ Gari, DUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin, DUN Membakut, Rusman Dulamit, DUN Klias Osin Jilon; DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Laka; Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah, DUN Kundasang, Japirin Sahadi dan DUN Karanaan, Nadzmin Kamin.
DUN Paginatan pula diwakili Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat, DUN Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi; DUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, DUN Nabawan Lajji Ompongoh; DUN Telupid, Benedict Asmat, DUN Sugut, Mohammad Arifin Pachuk dan DUN, Labuk Yusuf Latif.
DUN Sungai Manila diwakili Zaini Tiksun; DUN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir, DUN Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsuddin; DUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin, DUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin; DUN Tungku, Saleha Wahid; DUN Silam, Sharif Musa Sharif Mabul; DUN Kunak Datuk Seri Anil Jeet Singh; DUN Bugaya Abdul Manan Indanan, DUN Balung Erwan Palateh, DUN Apas Dr Elmiariezan Ardan; DUN Tanjung Batu, Samsuddin Yusof, DUN Sebatik dan Aslan Fadli Samsul Alang.
Sementara itu pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan hanya ada satu pasukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah – yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin – bagi menghadapi PRN ini.
Beliau menekankan bahawa tiada pasukan lain dalam UMNO dan BN Sabah.
Sebaliknya, Pengerusi BN itu berkata, Bung Moktar dibantu semua pemimpin termasuk Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
“Bung tidak sendirian… beliau dibantu oleh Rahman, Salleh dan rakan-rakan Ketua UMNO serta BN masing-masing.
“Tiada orang Rahman, tiada orang Bung dan tiada orang Salleh… tetapi semua orang BN Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengulangi penjelasannya mengenai kedudukan UMNO dan BN Sabah yang dimiliki rakyat negeri ini sepenuhnya.
“Siapa kata UMNO Sabah orang Malaya… UMNO dan BN Sabah adalah untuk orang Sabah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO dan BN Sabah 100 peratus dipimpin orang Sabah.
Beliau menegaskan kepimpinan pusat tiada niat menghantar orang dari Semenanjung untuk memimpin parti itu di Sabah.
Malah jika BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas 29 November nanti, katanya, jawatan Ketua Menteri juga pasti akan dipegang orang Sabah sendiri.
“Untuk Sabah, pastinya Ketua Menteri adalah orang Sabah kerana UMNO dan BN dipimpin orang Sabah, bukan orang Malaya.
“Sabah hanya untuk Sabah dan kita mahu slogan ‘Bikin Balik Sabah’ betul-betul dilaksanakan jika BN berjaya memerintah semula,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, slogan ‘Bikin Balik Sabah’ selaras dengan misi jentera BN untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah mengenai usaha gabungan itu memajukan semula negeri ini dalam semua bidang.
Mengenai pengumuman calon BN, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan Bung Moktar supaya memastikan 80 peratus calon BN Sabah terdiri daripada muka baharu.
“Ia juga mesti mengambil kira calon daripada Wanita, Pemuda, Puteri, MCA dan PBRS,” katanya.- 9/11/2025



