
Kerajaan perkukuh infrastruktur digital, perkasa komuniti Sabah
Kerajaan MADANI komited memperkukuh infrastruktur digital dan memperluas pembangunan komuniti di Sabah bagi memastikan rakyat negeri itu menikmati capaian internet yang lebih stabil dan berkualiti.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan sahaja untuk meningkatkan liputan internet tetapi juga memperkasa masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kemahiran TVET, serta meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan etika media sosial.
“Kerajaan akan terus memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan komunikasi dan capaian internet berkualiti melalui pembangunan infrastruktur digital serta pemerkasaan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan, Putatan, pada Sabtu.
Terdahulu, Fahmi turut meninjau menara telekomunikasi di Kampung Keronggu, Inanam, bagi menilai keberkesanan projek JENDELA Fasa 1 yang kini menyediakan liputan 4G kepada penduduk setempat.
Selain itu, beliau juga meninjau kerja-kerja penambahbaikan menara telekomunikasi di Kampung Tulung, Penampang yang terjejas akibat banjir, bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan rangkaian komunikasi semasa cuaca ekstrem.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin.-8/11/2025



