
40 peratus hasil Sabah: PRN tidak halang rundingan – PM
KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung isu 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 berlangsung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata proses rundingan itu tidak akan terjejas walaupun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Okt lepas untuk memberi laluan kepada PRN.
Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.
“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya (memulakan rundingan) telah berjalan.
“Sekarang, sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis kepada SUK Sabah mengatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk apa yang ditulis dalam penghakiman.
“Kemudian dalam Jawatankuasa Teknikal tentunya dibincangkan bahawa untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri dan tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu dengan siapa Kerajaan Persekutuan berunding memandangkan Sabah kini dalam proses pilihan raya, dan sama ada hasil rundingan itu akan diputuskan melalui platform mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara demi memastikan semua isu yang timbul, termasuk tuntutan hasil, dapat diselesaikan secara rasional serta berhemah.
“Tanggungjawab kita sebagai sebuah negara adalah menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan.
“Ada pihak yang lebih rasional dan sedia mengatur rundingan, sebab itu… rundingan boleh diadakan bila hubungan itu baik… jika kerajaan negeri ambil sikap yang lebih positif, rundingan itu lebih baik dan lebih cepat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengekalkan semangat kesatuan dan perpaduan, serta tidak meniup sentimen perkauman sempit dengan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan… yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang,” katanya.- BERNAMA
PM akan jelaskan secara terperinci isu 40 peratus hasil Sabah di Dewan Rakyat esok,Khamis.
Segala hal berkaitan isu Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah akan dijelaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat esok,Khamis.
Perdana Menteri berkata keputusan tidak merayu terhadap keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah dibindcangkan oleh kabinet semalam dan diputuskan secara konsensus.
“Saya merenung semalam dan Jemaah Menteri ada mesyuarat khas, pertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, runding, mendengar pandangan dan usul dari setiap ahli Jemaah Menteri, paling deras (bersuara), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Maka kita memutuskan secara konsensus, soal 40 peratus itu dan pertimbangan mengenai keputusan kita (kerajaan) juga, iaitu kita tidak rayu, tetapi keputusan penghakiman itu kita rayu, saya akan perjelaskan di Parlimen esok lebih terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaa Rabu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) yang umum keputusan tidak rayu menerusi satu kenyataan berkata susulan keputusan yang dibuat petang semalam, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
Kenyataan itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat melalui Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu.
Dalam penghakiman berkenaan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
Hakim bersidang, Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.- 12/11/2025



