YANG VIRAL

Ekonomi rancak… lebih banyak syarikat dibuka berbanding ditutup

Komuniti perniagaan negara menunjukkan daya tahan yang semakin kukuh pada tahun 2024, dengan peningkatan jumlah penubuhan entiti baharu dan pengurangan ketara dalam penutupan perniagaan, menurut Laporan Statistik Demografi Perniagaan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Laporan ini merangkumi kitaran hayat peniaga berdaftar di bawah Pendaftaran Syarikat (ROC) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 2017 hingga 2024, termasuk data bilangan penubuhan, penutupan, dan kadar survival perniagaan.

Pada tahun 2024, bilangan peniaga aktif meningkat 3.7% kepada 734,089 berbanding 707,637 pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini turut meneruskan trend pemulihan sejak 2022, selepas beberapa tahun penurunan antara 2017 hingga 2020.

Penubuhan perniagaan baharu meningkat 15% dari 48,124 pada 2022 kepada 55,376 pada 2024. Pada masa yang sama, jumlah penutupan perniagaan menurun hampir separuh kepada 28,924 daripada 55,470 dalam tempoh sama.

DOSM menjelaskan bahawa kesan pandemik mendorong situasi luar biasa pada 2019, 2020, dan 2022 apabila jumlah penutupan melebihi penubuhan. Namun, jurang tersebut kembali pulih sejak 2023 dengan penubuhan kini mengatasi penutupan secara konsisten.

Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah perniagaan aktif dengan 583,270 perusahaan atau 79.5%, diikuti sektor Pertanian (3.2%) dan sektor Perlombongan & Pengkuarian (1.0%). Sub-sektor Makanan & Minuman serta Maklumat & Komunikasi merupakan penyumbang tertinggi kepada kadar penutupan dalam sektor Perkhidmatan.

Dalam aspek keberlangsungan, kadar survival lima tahun perniagaan menunjukkan peningkatan ketara. Perniagaan yang ditubuhkan pada 2019 dan masih beroperasi pada 2024 merekodkan kadar survival 69.9%, meningkat daripada 66.1% bagi kohort 2017–2022.

Sektor Pembinaan merekodkan kadar survival tertinggi (72.8%), diikuti Pembuatan (70.3%) dan Perkhidmatan (69.8%). DOSM menyatakan prestasi sektor Pembinaan selari dengan pertumbuhan kukuh yang direkodkan sejak 2022.

Dari segi geografi, wilayah dengan bilangan peniaga aktif tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (236,877), Selangor (195,333), dan Johor (72,401). Labuan merekodkan kadar survival lima tahun tertinggi (77.8%), diikuti Sarawak (77.3%) dan Perak (76.2%).-13/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button