TAHUKAH ANDA

Fahmi garis tiga agenda utama sasar profesional PR dan komunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini menggariskan tiga agenda utama kepada komuniti perhubungan awam dan komunikasi, iaitu meningkatkan standard profesional, mengamalkan ketelusan serta mengangkat imej Malaysia di peringkat global.

Berucap pada majlis perasmian Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF) Malaysia 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, beliau berkata seruan pertama adalah untuk memperkukuh standard ekosistem komunikasi dengan memperluas bimbingan, memperteguh etika serta bekerjasama dengan universiti bagi melahirkan komunikator yang celik teknologi dan berempati.

“Seruan kedua ialah untuk bersikap telus. Jika kandungan bersifat sintetik, nyatakan. Jika data tidak lengkap, akui. Jika fakta berubah, bimbing masyarakat melalui perubahan itu. Kredibiliti yang dibina atas kejujuran akan sentiasa bertahan lebih lama daripada kempen paling meyakinkan,” katanya.

Beliau menambah, seruan ketiga adalah untuk menonjolkan Malaysia kepada dunia, dan dunia kepada Malaysia. “Komunikasi adalah kuasa lunak kita. Melalui cerita anda, dunia akan melihat Malaysia sebagai negara progresif, inklusif dan yakin,” ujar beliau.

Sementara itu, Fahmi menegaskan pendekatan kerajaan terhadap pengawalseliaan keselamatan dalam talian berlandaskan prinsip kejelasan dan akauntabiliti, bukannya kawalan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa pendekatan kerajaan terhadap keselamatan dalam talian berlandaskan prinsip kejelasan dan akauntabiliti, bukan kawalan, bagi melindungi ruang awam daripada ancaman maklumat palsu.

“Matlamat kami bukan untuk mengawal ucapan, tetapi untuk melindungi ruang awam. Peraturan yang jelas dan konsisten membantu rakyat, pencipta kandungan dan syarikat bertindak dengan yakin. Apabila orang ramai boleh mengesahkan, mempersoal dan memahami maklumat, mereka berupaya membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Beliau menambah, kementerian akan terus bekerjasama dengan rakan industri dan masyarakat sivil bagi memperkukuh ekosistem komunikasi negara.

Fahmi menjelaskan bahawa Majlis Media Malaysia dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 merupakan kerangka penting dalam memerangi maklumat salah serta memperkukuh integriti media.

“Majlis Media Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Akta 2025, berfungsi sebagai badan kawal selia bebas yang menegakkan standard tertinggi etika kewartawanan dan profesionalisme. Ia mempromosikan pelaporan bertanggungjawab, menggalakkan ketelusan dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap media,” katanya.

Beliau menambah, Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 pula memperkukuh akauntabiliti di platform digital dengan mewajibkan pelaksanaan langkah keselamatan dalam talian bagi membendung kandungan berbahaya dan mengelirukan.

“Akta ini turut mewajibkan pelabelan jelas bagi bahan yang dijana AI serta perlindungan pengguna rentan, khususnya kanak-kanak, daripada pendedahan kepada amalan tidak selamat dalam talian,” ujar beliau.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan persidangan sulung selama tiga hari yang dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners). Persidangan itu menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, profesional media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Hadir sama, Pengerusi PRactitioners Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur GPRCFMY, Datuk P. Kamalanathan.-14/11/2025 -BERNAMA

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button