
Fadlun ganti Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur
Pentabiran Kuala Lumpur menyaksikan kepimpinan baru mulai esok,Sabtu.
Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok,Sabtu menggantikan jawatan yang kini disandang Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Khidmat Maimunah sebagai Datuk Bandar sejak 15 Ogos,2024 dipendekan dan seterusnya akan bertugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas mulai Isnin depan.
Fadlun, 58, yang merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Fadlun juga adalah merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dan aktif dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Fadlun, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan semalam berkata keputusan itu bagi membolehkan Maimunah menyumbang kepakaran di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, yang bakal menerajui pembangunan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.
Petronas dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan mengenai pelantikan tersebut.
Shamsul Azri berkata tempoh pelantikan Maimunah dipendekkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menetapkan tempoh baharu iaitu dari 15 Ogos 2024 hingga 14 Nov 2025.
“Keputusan tersebut mengambil kira keperluan perkhidmatan serta kepakaran luas Datuk Seri Maimunah dalam perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, selaras dengan pengalaman antarabangsa beliau ketika mengetuai UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif.
“Kerajaan yakin penempatan baharu ini akan membolehkan beliau terus menyumbang kepimpinan strategik kepada negara melalui projek berkepentingan nasional,” katanya.
Shamsul Azri berkata sepanjang mengetuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Maimunah mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan, termasuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan DBKL berasaskan integriti serta pengurusan organisasi yang cekap dan berkesan.
Hasil kepimpinan transformasi itu, DBKL berjaya keluar daripada kedudukan defisit apabila mencatat lebihan semasa RM27.6 juta pada 2024, berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022.
Prestasi ini, menurutnya, menggambarkan kejayaan pelaksanaan langkah penambahbaikan kewangan dan pengurusan perbelanjaan secara berhemat, cekap dan strategik.
“Selain itu, Datuk Seri Maimunah turut berjaya meletakkan DBKL di pentas antarabangsa melalui pelbagai inisiatif pengantarabangsaan Kuala Lumpur, termasuk kerjasama strategik dengan UNICEF melalui Program Cash Plus dan Child-Friendly City Initiatives.
“Beliau juga memainkan peranan penting dalam penganjuran Forum Perbandaran Mampan ASEAN, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Shamsul Azri berkata usaha Maimunah dalam memperkasakan agenda bandar hijau dan mampan turut terserlah menerusi pelaksanaan komitmen menjadikan Kuala Lumpur bandar karbon sifar, berdaya huni serta berdaya tahan iklim.
Antara inisiatif yang diterajuinya ialah Inisiatif Sifar Sisa, Lingkaran Hijau dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP), yang kesemuanya mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam membangunkan bandar masa hadapan.
Kepimpinan Maimunah turut diiktiraf dengan pelbagai anugerah berprestij di peringkat domestik dan antarabangsa, antaranya Anugerah Kepimpinan Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PCRA) 2024, Anugerah Nona Superwoman 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandar raya) 2025 sempena Anugerah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau juga menerima pengiktirafan ‘Women of the Decade’ daripada Women Economic Forum selain dinobatkan sebagai penerima Leadership Award 2025 daripada Fira de Barcelona di World Smart City Expo 2025.-14/11/2025
Tempoh perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan
Tempoh pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif dipendekkan kepada 14 November ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata keputusan itu bagi membolehkan Maimunah memulakan tugas di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional yang bakal menerajui pembangunan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur
Jelas beliau, tempoh pelantikan Maimunah dipendekkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menetapkan tempoh baharu iaitu dari 15 Ogos 2024 hingga 14 November 2025.
Tambah beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas Datuk Seri Dr. Maimunah dalam bidang perancangan bandar lestari, termasuk ketika menerajui UN-Habitat di peringkat antarabangsa.
Sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau berjaya memperkukuh tadbir urus berintegriti dan cekap, sekali gus melonjakkan prestasi kewangan apabila DBKL mencatat lebihan semasa RM27.6 juta pada 2024 berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022.
“Kepimpinan beliau turut menyerlah di peringkat antarabangsa melalui pelbagai inisiatif bandar hijau serta penganjuran ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) dan ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Kerajaan merakamkan penghargaan atas jasa dan legasi beliau yang membawa DBKL ke tahap membanggakan, selain mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya atas pelantikan baharu yang sejajar dengan aspirasi MADANI Wilayah Persekutuan”, menurut kenyataan itu.-14/11/2025



