
Tengku Zafrul jelaskan sebab sebenar pilih PKR dan ulangi pandangan UMNO Selangor perlu buat banyak penambahbaikan…
Ramai yang bertanya kenapa Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz memilih sertai PKR sedangkan UMNO yang asalnya bagi tempat dan lonjak namanya dalam arina politik.
Beliau bukan sahaja dapat tempat sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO,Ketua UMNO Bahagian,Senator dan dapat jawatan Menteri.
Sebenarnya ada pemerhati politik yang sudah mencium petanda beliau ‘tidak selesa’ duduk dalam UMNO bila meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April 2024.
Sebab musabab yang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berikan kepada keputusan itu juga membuat sebahagian pimpinan UMNO Selangor ‘menyinga’.
Bekas CEO Cimb Bank itu dilihat secara terbuka perlekehkan prestasi UMNO negeri itu yang diketuai Datuk Megat Zulkarnian Omar Din yang merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Katanya keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.
“Lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif. Sewaktu saya dipilih sebagai ahli MKT UMNO dari Selangor dan dilantik Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dulu, saya sudah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di Selangor,” katanya yang sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, katanya.
Kini UMNO cuma ada dua kerusi saja di Selangor dari semuanya 56 kerusi.
“Selangor negeri amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.
“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya sambil menjelaskan, strategi ampuh sepatutnya dirangka dengan ketetapan sesuai dengan realiti semasa.
“Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera. Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” katanya.
Pada 2 Disember ini adalah hari terakhir Zafrul pegang jawatan Menteri kerana tempoh khidmat beliau sebagai Senator sudah sampai had maksima.
Dalam interbiu terbaru dengan akhbar Sinar Harian yang disiarkan hari ini ,Zafrul tidak berselindung dan tetap menyuarakan hal sama mengenai UMNO Selangor.
Beliau menegaskan PKR yang menjadi wadah politik majmuk lebih serasi dengan dirinya.
Katanya PKR lebih mencerminkan dirinya berbanding UMNO.
Katanya beliau sudah fikir masak masak.
“Perjuangan ini adalah perjuangan dari segi prinsip….jadi saya perlu melihat apa yang saya nak wakili,”katanya.
Zafrul tidak menolak perjuangan UMNO juga bagus cuma soalanya apakah ia selari dengan pendirian politiknya.
“Saya melihat PKR lebih mewakili dirinya berbanding UMNO.
“Kita juga sama sama perjuangkan hak bumiputra…PKR pun tidak kurang tetapi saya lebih sesuai parti yang majmuk…mungkin ia selari dengan cara saya dibesarkan.”
Beliau akui bukan mudah meninggalkan UMNO yang melantik beliau sebagai ahli MKT, Ketua Bahagian, malah Menteri kerana ia membawa risiko besar dari segi politik.
Namun Zafrul merasakan PKR lebih mencerminkan diri beliau yang percaya kepada sifat kemajmukan yang sememangnya ada dalam PKR.
Beliau juga menegaskan UMNO Selangor perlu ada arah tuju.
“Perjuangan UMNO di Selangor ini perlu banyak penambahbaikan,” kata Zafrul.
“Saya cuba (bawa penambahbaikan dulu) tetapi tidak diterima …sejak 2008 UMNO ( kalah) di Selangor ( kini tinggal dua kerusi) tidak pernah bangkit semula,”ujarnya.
“Saya sudah beritahu ( UMNO Selangor) kita kena buat sesuatu….”
Katanya hal itu mendorong peletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor pada April 2024.
Zafrul merasai sebagai orang Selangor PKR lebih banyak membantu rakyat negeri itu.
Mengenai desas desus konon akan adanya pilihanraya kecil Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di Selangor untuk beri laluan kepadanya dilantik Menteri Besar atau Menteri…Zafrul menegaskan tiada janji seumpama tu selepas tempoh beliau berakhir.
Katanya beliau menetapkan syarat bahawa tidak mahu bertanding dalam pilihanraya kecil hanya bagi membolehkannya menjadi Ahli Parlimen sebelum dilantik sebagai menteri bagi meneruskan khidmat beliau sebelum ini.
Malah beliau juga tidak dijanjikan sebarang jaminan kerusi untuk ditandingi dengan penyertaan beliau ke dalam PKR.
Katanya beliau sendiri tidak tahu sama ada akan dicalonkan atau tidak bertanding sama ada kerusi parlimen atau Dewan Negeri sebaliknya menyerahkan urusan tersebut kepada parti.- 14/11/2025



