TAHUKAH ANDA

Polis tangkap warga asing liwat kucing di Shah Alam

Polis menahan seorang lelaki warganegara Nepal berusia 33 tahun yang meliwat seekor kucing sebelum mencampaknya dari aras empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Shah Alam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Ramsay Embol berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.30 tengah malam semalam.

Ramsay berkata, seorang pengadu bersama suaminya yang baru tiba di kediaman mereka melihat dari dalam kereta seorang lelaki dalam keadaan bogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing.

“Suami pengadu kemudian naik ke aras empat untuk menegur perbuatan suspek tetapi suspek telah mencampak kucing itu ke bawah sebelum melarikan diri. Kejadian tersebut turut dirakam oleh pengadu menggunakan telefon bimbitnya.

“Pada 15 November jam 4.45 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menahan seorang lelaki warganegara Nepal berusia 33 tahun yang dipercayai suspek kejadian. Suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan.

Ramsay berkata, suspek yang juga berkerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri tersebut dibenarkan tahanan reman selama lima hari bermula 15 November sehingga 19 November oleh Majistret Mahkamah Shah Alam bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kesalahan iaitu persetubuhan luar tabii dengan haiwan yang membawa hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat.

Menurut Ramsay, kes turut disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 0111-6958529,” katanya.-17/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button