FOKUS

Siasatan kes skandal lesen cari gali mineral di Sabah belum ditutup – PM

Isu dakwaan rasuah melibatkan lesen mencari gali bahan mineral di Sabah yang disebar meluas menerusi video bergema lagi di sidang Dewan Rakyat ketika kempen pilihanraya negeri itu (PRN) sedang berlangsung sekarang.

Ia timbul semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri bila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai isu skandal berkenaan dimana setakat ini baru dua dari 14 wakil rakyat yang didakwa terpalit sudah didakwa.

Pada Jun lalu dua wakil rakyat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu ialah Andi Suryady Bandy Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tanjung Batu dan ADUN Sindumin, Yusof Yacob.

Seorang lagi ialah ahli perniagaan Datuk Albert Tei yang didakwa tawar rasuah dan sebar video skandal itu.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang melibatkan kesalahan menerima dan menawarkan rasuah.

Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob tidak bertanding pada PRN ini.

Isu ini juga menjadi bahan kempen hangat untuk PRN yang akan berlansung pada 29 November ini.

Dalam jawapannya,Perdana Menteri menjelaskan siasatan terhadap kes rasuah berkenaan masih belum ditutup.

“Setakat ini, tiga individu telah didakwa. Tidak semua dilepaskan. Kenapa tiga? Kerana terdapat kes yang compelling dengan alasan dan bukti kukuh. Kes ini tidak pernah ditutup,” katanya

Kata Anwar beliau telah menonton video berkenaan dan, berpendapat terdapat asas untuk kes itu disiasat.

“Yang menyiasat adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menurut SPRM, dengan rujukan Jabatan Peguam Negara, ini adalah kes jenayah, jadi tiada had masa. Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) kena sabar.”

Perdana Menteri juga menolak dakwaan kerajaan memilih bulu dalam pendakwaan, sebaliknya menegaskan bahawa dua ADUN yang didakwa setakat ini adalah daripada parti komponen kerajaan perpaduan.

Justeru, katanya, kerajaan tidak melindungi sesiapa saja yang dianggap terlibat dengan kegiatan rasuah.

Pada masa sama, kata Anwar, sebagai Perdana Menteri beliau juga menegaskan bahawa ada yang perlu dilakukan.

“Apa yang harus Perdana Menteri lakukan? Beri arahan yang kukuh (jelas) – jangan kecualikan sesiapa (daripada siasatan), tapi (perlu ada) bukti yang kuat.

“Apakah yang lain akan didakwa kemudian? Itu saya tidak tahu. Pokoknya (kes) belum dipadam, belum ditutup kes mereka. Daripada maklumat yang sampai kepada saya, belum,” tegasnya. – 18/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button