FOKUS

Bola kini di kaki MIC…

“Apa juga keputusan yang akan dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerima.” Bahasa politik Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zahid Hamidi yang terbaru pada Rabu mengenai isu ura ura MIC hendak keluar dari BN cukup jelas dan terang.

Ia tidak berubah langsung dari pendirian beliau sebelum ini yang serahkan sepenuhnya keputusan itu ditentukan oleh MIC sendiri.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN itu ditanya wartawan isu MIC itu selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 di Wisma MCA di Kuala Lumpur.
.
Beliau menegaskan tidak akan mencampuri urusan dalaman MIC selepas parti itu meluluskan resolusi secara sebulat suara Perhimpunan Agung tahunannya Ahad lalu untuk keluar daripada gabungan BN.

Namun begitu perhimpunan itu kemudian memutuskan umtuk serah kepada Presiden MIC, S. A. Vigneswaran, dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti untuk perbincangan dan buat penentuan.

Pimpinan MIC akan bermesyuarat mengenai hal berkenaan dalam masa terdekat untuk buat keputusan.

MIC selama ini sudah menjadi rakan UMNO dan MCA dalam gabungan BN dan sebelum itu Perikatan sejak zaman Merdeka lagi.

Bagaimanapun gara gara beberapa isu politik dalaman BN kebelakangan ini telah mendorong MIC untuk ubah haluan.

Ia dikatakan sedang mengintai untuk jalin hubungan antara Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan.

Pada pilihanraya umum ke 15 lalu MIC cuma tinggal satu kerusi Parlimen yakni Tapah yang disandang oleh Timbalan Presiden, M. Saravanan.

Dalam pada itu Timbalan Presiden UMNO,Datuk Seri Mohamad Hasan masih menaruh harapan agar MIC menimbang semula cadangannya hendak keluar BN.

Katanya pada wartawan di Sabah semalam “Saya yakin pimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin, sedalam-dalamnya kerana MIC parti yang bersama-sama dengan UMNO dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air suatu ketika dahulu.”

Beliau berkata hubungan antara MIC dan BN telah lama dan amat rapat dan sebarang perkara yang memerlukan penjelasan atau salah faham yang perlu dijernihkan, seeloknya dibawa ke meja rundingan.

“Ini supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu sahaja kerana persahabatan penting dalam sesebuah keadaan,” katanya lagi.

Mengimbau kembali kewujudan MIC bersama BN, Mohamad yakin pemimpin utama parti itu tidak akan membuat keputusan terburu-buru.

“Kadang-kadang, cakap-cakap itu biasa, tapi sebagai pemimpin tertinggi, saya yakin presiden, timbalan presiden dan pimpinan tertinggi MIC lain mempunyai kewarasan amat baik,” ujarnya.

Mohamad juga berkata akan mencari jalan untuk berunding dengan MIC bagi mencari penyelesaian terbaik dan mungkin pertemuan akan diadakan selepas PRN Sabah nanti.

“Kita akan jumpa, saya sendiri akan berusaha untuk jumpa mereka agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan.

“Laut mana tidak bergelora, kita tunggulah dulu gelora itu reda, ombak tengah kuat, kita ‘berlabuh’ dulu di jeti. Kita baiki dulu ‘kapal’ kita, mana yang bocor kita tampal, mana yang tidak betul kita betulkan dan kita akan terus keluar nanti apabila gelora telah reda,” katanya.

Ditanya mengenai hasrat Mohamad itu Zahid turut menyokong langkah Timbalan Pengerusi BN itu hendak mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi MIC bagi membincangkan perkara itu.

Apapun bagi Zahid penentunya terletak pada budibicara MIC sendiri.

“Itu sebaik-baik pendekatan. Apa pun keputusan yang akan dibuat terserah kepada parti (MIC) ,” ujarnya lagi.- 19/11/2025

Perhimpunan Agung MIC serah kepada pucuk pimpinan putuskan samaada nak keluar BN atau tidak

Sepatutnya hari ini,Ahad ialah ‘D-Day’ bagi parti MIC untuk buat keputusan muktamad samaada keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Maka semua orang sudah pasang teropong ke Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 MIC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Untuk rekod MIC bersama MCA duduk bawah payung BN atau sebelumya Perikatan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Namun tidak semua berlaku seperti yang asalnya dirancang.

Setelah perhimpunan agung parti itu membahaskan tiga usul termasuk samaada keluar BN atau tidak dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang…ia memutuskan untuk tangguhkan keputusan yang besar itu.

Semua usul berkenaan dibentangkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Sekiranya usul keluar daripada BN terjadi MIC terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan Pakatan Harapan (PH).

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC itu beliau berkata pucuk pimpinan parti akan segera buat keputusan.

“Ini keputusan perwakilan, takkan kita yang belum duduki mesyuarat terus nak keluarkan kenyataan? Semuanya tertakluk kepada keputusan CWC.

“Tetapi, keputusan ini akan dimuktamadkan kalau boleh secepat mungkin,” katanya.

Ketika hangat berlegar mengenai isu MIC hendak keluar BN kebelakangan ini ,Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi kata gabungan itu tidak akan sekat MIC dari mengambil langkah itu.

MIC kebelakangan ini dikatakan tidak puas hati dengan beberapa hal politik dalam gabungan BN.

Pada sidang akhbar itu Vigneswaran juga mengakui berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berhubung hasrat untuk keluar daripada BN.

Beliau berkata, Anwar ada memberikan saranan untuk MIC mempertimbangkan semula perkara tersebut memandangkan kedua-duanya sudah lama menjadi rakan gabungan.

“Anwar seorang yang terbuka dan berterus-terang, beliau tanya, saya ceritakanlah apa yang sebenarnya berlaku.

“Bukannya kami nak berunding untuk dapatkan kerusi, kami nyatakan hasrat untuk keluar BN. Jadi beliau meminta MIC untuk fikir betul-betul,” katanya.- 16/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button