
Kerajaan beku dana FAM sehingga siasatan penuh selesai – Hannah
Lagi perkembangan melibatkan pasukan bola sepak negara yang terjejas berikutan kes pemain warisan… Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kerajaan akan menghentikan sementara penyaluran dana tambahan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam sesi Dewan Rakyat pada Khamis, beliau turut mencadangkan protokol pemeriksaan baharu akan diperkenalkan bagi atlet naturalisasi dalam meraih semula kepercayaan masyarakat susulan skandal pemalsuan dokumen.
“Ini merupakan langkah awal sementara kita menunggu siasatan penuh yang diketuai Tun Md Raus Sharif,” katanya.
Tambah Hannah, peruntukan dana tambahan tidak akan disalurkan kepada badan tersebut sehingga isu akauntabiliti yang timbul akibat skandal pemain warisan dapat ditangani.

Di bawah protokal baharu itu, setiap proposal daripada pertubuhan sukan untuk menaturalisasikan atlet perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum boleh dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Ini kerana penyeliaan MSN adalah penting kerana organisasi itu menguruskan program pembangunan jangka masa seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Selain itu, badan berkenaan berada di posisi lebih baik untuk menilai sama ada pasukan negara memerlukan pemain warisan atau sebaliknya.
Tetapi, Hannah turut menekankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh menghalang kelab daripada membawa masuk pemain warisan seperti mana dibenarkan FIFA.
“Akan tetapi, proses sebetulnya perlu dituruti untuk mengelak kontroversi seperti ini,” katanya.
KBS turut menegaskan bantuan kerajaan sebelum ini turut disalurkan kepada skuad kebangsaan, termasuk RM5 juta disediakan ketika Harimau Malaya berada di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Di samping itu, suntikan dana bernilai RM15 juta bagi persiapan kempen Kelayakan Piala Asia serta tambahan RM15 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kegunaan pasukan negara.
“Ini merangkumi pembayaran gaji barisan kejurulatihan, elaun lebih baik, pengurusan lebih berkualiti dan pendedahan kepada latihan serba lengkap,” katanya.
Penggunaan dana itu turut dikawal selia setiap bulan oleh jawatankuasa gabungan merangkumi KBS dan Kementerian Kewangan dengan tiada wang tersebut digunakan bagi prosiding undang-undang.
“Sekiranya FAM mahu membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), mereka perlu menanggung kos itu sendiri,” jelas Hannah lagi.
Badan induk bola sepak negara itu dilaporkan dalam proses membawa kes tersebut ke muka pengadilan dengan kos guaman tidak akan ditanggung pihak kerajaan. -21/11/2025



