TAHUKAH ANDA

104 kes kecurian kebal direkodkan tahun ini libat perkhidmatan KTMB

Terdapat 104 kes kecurian kabel di sepanjang rangkaian keretapi KTMB direkodkan bagi tempoh Januari sehingga Ogos lalu yang memberi impak kelewatan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.

Menurut Kementerian Pengangkutan , untuk tempoh itu, 38 kes dicatatkan di Perak diikuti Selangor 37 kes dan Kedah dengan 19 kes manakala tiada kes direkodkan bagi Perlis, Melaka serta Johor.

Jelasnya, sebanyak empat kes dicatatkan di Negeri Sembilan diikuti Pulau Pinang tiga kes; Kuala Lumpur dua kes dan satu kes di Pahang.

“Walau bagaimanapun, ia menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 150 kes.

“Insiden kecurian kabel ini memberi impak kepada gangguan sistem persemboyanan KTMB yang mengawal pergerakan tren.

“Seterusnya membawa kesan kelewatan operasi serta kerugian masa kepada penumpang,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah insiden kecurian kabel mengikut negeri yang melibatkan perkhidmatan KTM, impaknya dalam jumlah kerugian masa oleh pengguna KTM dan tindakan untuk menangani masalah ini.

Jejas perkhidmatan ETS, KTM Komuter

Kementerian itu menambah, jumlah keseluruhan masa kelewatan yang dialami oleh KTMB adalah sebanyak 562 jam untuk perkhidmatan ETS dan 741 jam bagi perkhidmatan KTM Komuter dan tiada kelewatan bagi perkhidmatan Antarabandar.

KTMB katanya, telah mengambil tindakan segera bagi menangani isu insiden kecurian kabel termasuk kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Antara tindakan yang telah diambil adalah menjalankan operasi khas dan rondaan 24 jam oleh anggota Polis Bantuan KTMB di kawasan hotspot terutamanya di sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, usaha akan diteruskan dengan memperkukuh rondaan dibuat bersama pihak PDRM,” katanya.

Tindakan lain jelasnya, bekerjasama serta menyalurkan maklumat kepada agensi-agensi penguat kuasa seperti PDRM dan AADK serta mengadakan perbincangan dengan JKKK Komuniti Setempat bagi membanteras sarang penagih dadah yang berada berhampiran dengan landasan kereta api di mana penagih-penagih ini disyaki melakukan aktiviti mencuri kabel dan peralatan lain milik KTMB.-21/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button