
Apa akan jadi jika DUN Sabah tergantung… Ini komen Johari Ghani
Apa akan jadi jika DUN Sabah tergantung…? itu soalan yang ditanya ramai menjelang hari pengundian Pilihanraya Negeri Sabah pada 29 November ini.
Bagi Barisan Nasional (BN) masih terlalu awal untuk menentukan sebarang kerjasama gabungan politik sekiranya parti itu tidak berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu hanya akan diketahui apabila PRN Sabah selesai pada 29 November ini.
“Lambat lagi (untuk tentukan kerjasama gabungan politik), (tunggu) PRN Sabah habis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN akan bergabung dengan parti lain sekiranya gagal membentuk kerajaan negeri.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh daripada mereka golongan profesional dan muda.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada Selasa dengan sejumlah 24,426 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11,697 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan manakala 12,729 lagi melibatkan anggota polis serta pasangan.
Sebanyak 58 pusat pengundian awal akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula pada 8 pagi, sebelum ditutup secara berperingkat.
Antara lokasi pusat mengundi awal ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu, ibu pejabat polis daerah-daerah serta kem-kem tentera di seluruh negeri.
Dalam pada itu sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada semua yang layak untuk mengundi sebagai pengundi pos.
Pengeluaran kertas undi pos pada 17-18 November lalu dijalankan oleh petugas undi pos di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri.
Kesemua 22,881 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya,
Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media).
Sebanyak 336 kertas undi pos bagi kategori 1B (warga Malaysia yang tinggal di luar negara) dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C (Agensi/Organisasi).-25/11/2025



