
Ribut tropika dari Selat Melaka menuju Semenanjung
Ribut tropika (Senyar) dikesan memasuki utara perairan Selat Melaka menuju barat Semenanjung, berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora khususnya di negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut tropika dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam (km/j) dikesan di utara Sumatera di Indonesia dan 102 kilometer ke barat daya Lumut di Perak.
“MetMalaysia telah mengemas kini amaran ribut tropika, amaran hujan berterusan serta amaran angin kencang dan laut bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.



