KEMBARA

Tengku Permaisuri Selangor serikan Selangor Halalvibe Fest 2025

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan mencemar duli Selangor Halalvibe Fest 2025 untuk menyampaikan hadiah Pertandingan Meowdel Si Comel dan melawat pelbagai gerai jualan sepanjang festival empat hari itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS), Muhammad Khushairi Mat Lasar, festival ini menarik lebih 22,000 pengunjung dengan catatan penjualan mencecah 60 peratus.

“Setakat pukul 12 tengah hari tadi, kita telah menerima lebih 22,000 pengunjung dan berharap dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu 30,000 pengunjung serta rekod jualan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri festival tersebut di Dataran Karnival Shah Alam, pada Ahad.

Turut hadir, Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad merangkap isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Khushairi berkata, Halalvibe Fest akan diteruskan sebagai acara tahunan bermula 2026 dengan skala lebih besar.

“HIS turut merancang Jelajah Halal Selangor pada Ogos atau September 2026 yang akan melibatkan semua daerah di negeri ini. Program ini bertujuan memberikan advokasi kepada usahawan dan masyarakat mengenai prosedur mendapatkan pensijilan halal.

“Kami juga mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, iaitu untuk membantu seberapa ramai usahawan memperoleh sijil halal pada tahun hadapan,” jelasnya.

Festival ini menghimpunkan lebih 300 usahawan menampilkan pelbagai produk seperti makanan dan minuman, fesyen, kosmetik, pelancongan, perbankan, pendidikan, serta hiburan keluarga.

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati aktiviti lari santai, sukan rakyat, persembahan pentas, pertandingan memasak, dan zoo mini.-1/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button