
Tengku Zafrul dilantik Pengerusi MIDA
Teka teki mengenai hala tuju Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz setelah terpaksa lepaskan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana tempoh senator beliau selama dua penggal sudah tamat terjawab hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) beritahu beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Menurut PMO, selain mengetuai MIDA, Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini sedang diperincikan.
“Tanggungjawab tambahan itu akan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Tengku Zafrul mengakhiri tugasnya sebagai Menteri MITI berkuat kuasa 2 Disember 2025.
Beliau mula dilantik menanggotai kabinet pada 2020 sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Zafrul diberi kepercayaan menerajui portfolio pelaburan, perdagangan dan industri.
Sebelum menyertai Kabinet, beliau berkhidmat lebih 22 tahun dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.- 3/12/2025
PM akan umum jawatan baharu Tengku Zafrul Rabu ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan peranan baharu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pada Rabu ini.
Beliau berkata, Tengku Zafrul masih mempunyai “tanggungjawab” untuk dipenuhi.
“Beliau tidak boleh lepas begitu saja. Hari terakhirnya 2 Disember dan beliau akan terus bekerja (selepas itu).
“Saya akan umum (peranan baharunya) pada 3 Disember,” katanya selepas melancarkan kenderaan elektrik pertama Perodua QV-E di sini, hari ini.
Jumaat lalu, jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Tengku Zafrul akan terus memainkan peranan dalam kerajaan selepas tamat penggal kedua jawatan senatornya.
Bulan lalu, Tengku Zafrul menawarkan diri untuk membantu penggantinya selepas penggal kedua jawatan senatornya tamat.
Katanya, beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada Anwar dan sedang menunggu keputusan berhubung kepimpinan baharu kementerian itu.
Jawatan senator yang disandang Tengku Zafrul bermula Disember 2020 dan diperbaharui tahun lalu.
Difahamkan beliau tidak boleh kekal dalam barisan Jemaah Menteri, kecuali dipilih sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang.-1/12/2025



