TAHUKAH ANDA

Singapura larang pelajar guna gajet di sekolah mulai 2026

Mulai tahun depan, Singapura melarang pelajar sekolah menengah daripada menggunakan telefon pintar dan jam tangan pintar sepanjang hari persekolahan, sekali gus memperluas sekatan sedia ada yang kini hanya terpakai ketika waktu pembelajaran.

Langkah itu, yang diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Ahad lalu, adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh langkah di sekolah menengah bagi memupuk tabiat penggunaan skrin yang lebih sihat.

Menurut peraturan baharu itu, peranti pelajar akan disimpan di kawasan khas atau di dalam beg sekolah sepanjang waktu persekolahan. Namun, pihak sekolah boleh memberikan pengecualian dalam keadaan tertentu yang dianggap perlu, kata kementerian itu.

“Penggunaan skrin dalam kalangan pelajar telah terbukti menjejaskan aktiviti penting seperti tidur, aktiviti fizikal dan interaksi sosial bersama rakan serta keluarga, selain dikaitkan dengan kesejahteraan holistik yang lebih rendah,” jelas kenyataan itu.

Garis panduan sama telah dilaksanakan di sekolah rendah sejak pelancaran strategi kesihatan nasional Grow Well SG.

Difahamkan, beberapa sekolah menengah yang mengamalkan peraturan lebih ketat sebelum ini dilapor mencatat kesan positif seperti peningkatan fokus, interaksi fizikal dan kesejahteraan pelajar.

MOE turut memaklumkan, waktu ‘sleep mode’ aplikasi pengurusan peranti akan diawalkan kepada 10.30 malam berbanding 11 malam bagi menggalakkan pelajar tidur lebih awal.

Ibu bapa juga digesa menyesuaikan tetapan peranti anak mereka agar selari dengan perubahan ini.

Jelas MOE, bagi pelajar prauniversiti mereka dijangka mempunyai disiplin mencukupi untuk mengurus penggunaan peranti, namun larangan semasa waktu pembelajaran tetap dikekalkan kecuali dengan kebenaran guru.

Maklumat lanjut mengenai garis panduan baharu ini akan disampaikan melalui taklimat awal tahun, buku panduan pelajar, laman web sekolah dan sesi bersama ibu bapa.-2/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button