
Kerajaan bentang RUU tangani kes buli di sekolah yang meruncing
Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang ditunggu-tunggu bagi menangani kes buli di institusi pendidikan, khususnya di sekolah yang semakin meruncing, termasuk yang mengakibatkan kematian.
RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 1 Disember oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen, dan dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 3 Disember.
Gesaan untuk kerajaan memperkukuh undang-undang bagi menangani kes buli di institusi pendidikan Malaysia kian memuncak menyusuli beberapa insiden buli termasuk yang menyebabkan kematian di institusi pendidikan di negara itu, khususnya di peringkat sekolah.
Pada Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendedahkan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin membimbangkan dengan 7,681 kes dicatat pada 2024 – meningkat 1,153 kes berbanding 6,528 kes pada 2023.
Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) itu turut menunjukkan kejadian paling tinggi membabitkan pelajar sekolah menengah dengan sejumlah 5,689 kes dilaporkan dalam tempoh itu, manakala 1,992 kes melibatkan sekolah rendah.
Antara kes yang paling mendapat perhatian ramai sehingga tular ke seluruh dunia ialah kematian seorang pelajar menengah satu dari sebuah sekolah di Sabah, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, dipercayai akibat menjadi mangsa buli.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang di bangunan asrama sekolahnya, sebelum disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan pada Julai lalu.-3/12/2025



