TAHUKAH ANDA

Malaysia terima komitmen pelaburan RM486 juta di MIPCOM 2025

Industri perfileman negara menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FiMI) berjaya meraih komitmen pelaburan berjumlah RM486 juta di Marché International des Programmes de Communication (MIPCOM) 2025, pasaran kandungan terbesar dunia yang berlangsung di Cannes, Perancis, Oktober lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaburan itu dijangka berupaya menghasilkan hingga 1,500 peluang pekerjaan kepada pemain industri tempatan.

Ini sekali gus akan memberi pulangan dalam bentuk gandaan ekonomi hingga mencecah RM1.66 bilion.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac untuk merangka perancangan bagi tahun depan supaya gerak kerja bagi tujuan promosi dan menarik pelaburan seperti ini dapat dirangka dengan lebih menyeluruh.

“FiMI merupakan insentif yang agak kompetitif, banyak negara di Asia Tenggara dengan lokasi-lokasi yang sangat menarik dan indah. Jadi kita bersaing secara sihat sesama negara di rantau Asia Tenggara, FiMI adalah satu elemen insentif yg cukup bermakna untuk penggiat industri filem,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 yang kemudian diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, sejumlah RM110 juta diperuntuk kerajaan untuk inisiatif FiMI tahun depan.

Ia melibatkan pemberian 30 peratus rebat kepada pembikin filem yang membuat penggambaran di Malaysia, selain tambahan lima peratus sekiranya mereka memasukkan elemen kebudayaan tempatan.

Sementara itu katanya kerajaan tidak berhasrat mengenakan apa-apa syarat pembikinan filem, sijil penggambaran atau Surat Perakuan Penggambaran FINAS kepada pempengaruh atau pengaudio siar.

Selain tidak berhasrat untuk mengenakan apa-apa syarat perlesenan kepada platform OTT (perkhidmatan penstriman menerusi Internet) pada waktu ini.-4/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button