
Ahli Parlimen PN Padang Serai mengaku tak bersalah bersubahat terima rasuah RM400,000
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam bersubahat untuk terima rasuah RM400,000 untuk projek ternakan lembu di Kedah pada tahun 2020.
Azman yang ketika itu merupakan exco pertanian Kedah didakwa bersubahat dengan Amar Assuat Abu Bakar untuk terima rasuah dari Mohd Hassanaim Fauzi, yang membayar rasuah tersebut.
.
Menurut kertas pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan mengarahkan syarikat Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) untuk mengeluarkan surat tawaran hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.
kepada Mohd Hassanaim.
Tanah itu terletak di Mukim Sungai Laka dalam daerah Kubang Pasu, Kedah.
Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, jam 5 petang 23 Jun 2020.
Mereka didakwa di hadapan hakim Mohd Nasir Nordin.
Azman, 53, dan Amar Assuat, 41, mengaku tidak bersalah.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan jika disabitkan bersalah nanti.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin masing-masing kepada Azman dan Amar Assuat.- 8/12/2025
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Padang Serai mengaku ditahan SPRM…
Tiada lagi teka teki Ahli Parlimen dari Kedah mana yang kena tahan SPRM pasal kes rasuah bernilai RM400,000 berkaitan projek ternakan lembu di negeri itu.
Ini kerana tuan tubuhnya iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin tampil buat pengakuan dialah orangnya.
Beliau membuat pengakuan itu menerusi hantaran video di Tik Tok.

Katanya beliau akan dihadapkan ke mahkamah bersama dua lagi suspek pada Isnin 8 Disember ini.
Azman mendakwa kes ini mungkin ada unsur politik untuk cemar imej Ahli Parlimen PN.- 5/12/2025
BERITA SEBELUM INI : SPRM tahan Ahli Parlimen Kedah kes rasuah RM400,000
Seorang Ahli Parlimen di negeri Kedah telah ditahan SPRM petang semalam atas kes rasuah RM400,000 projek usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri itu.
SPRM telah buka kertas siasatan susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu dan siasatan dijalankan yang mana 15 saksi dirakam percakapan.
Individu terbabit telah dirakam percakapan mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan dilepaskan dengan jaminan.
Bagaimanapun dia diberikan notis untuk hadir di mahkamah Alor Setar pada hari Isnin ini.
Penahanan ahli Parlimen itu telah disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – 5/12/2025



