SUARA PEMBACA

Pindaan Akta FINAS mantapkan kawal selia, kebajikan kru industri

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, kawal selia dan kesejahteraan warga industri perfileman negara.

Menurut kenyataan rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), RUU yang dibentangkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu, menjadi langkah penting memastikan FINAS kekal relevan serta efektif dalam memacu pembangunan sektor kreatif.

“Pindaan ini menyelaraskan Akta FINAS 1981 dengan keperluan industri semasa serta perkembangan teknologi terkini, termasuk platform digital, Over The Top (OTT) dan evolusi produksi kandungan kreatif tempatan.

“Pindaan ini juga memastikan dasar serta peraturan subsidiari di bawah FINAS kekal relevan, responsif dan menyokong pembangunan industri bagi jangka masa panjang,” menurut kenyataan berkenaan.

Fahmi menjelaskan, meskipun platform video-on-demand (VOD) seperti Netflix, Viu, Disney+ Hotstar, Amazon Prime serta platform tempatan seperti Astro Go, Tonton dan Sooka menjadi sebahagian daripada ekosistem kandungan hari ini, penyedia perkhidmatan OTT masih dikecualikan daripada keperluan pelesenan.

“Bagi platform digital, hanya aktiviti pengeluaran (production) dan pengedaran (distribution) filem tertakluk di bawah kawal selia FINAS.

“Aktiviti pemameran (exhibition) pula hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya pelesenan VOD diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pindaan terbabit turut memperkukuh penjelasan bahawa Akta 244 merangkumi semua bentuk pengeluaran dan pengedaran komersial, termasuk filem, drama, dokumentari, animasi dan iklan yang ditayangkan di televisyen, satelit, pawagam, OTT dan media sosial.

Kerajaan menegaskan, pindaan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti, sebaliknya memastikan ekosistem produksi yang lebih selamat, teratur dan profesional.

Melalui pindaan berkenaan, FINAS akan memperincikan perlindungan dalam peraturan subsidiari, meliputi kebajikan kru dan pekerja produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran, keselamatan kerja, perlindungan insurans seperti PERKESO serta aspek keselamatan produksi dan set penggambaran.

FINAS menyambut baik kelulusan pindaan itu kerana ia membolehkan perbadanan tersebut terus berfungsi sebagai peneraju industri yang lebih moden, telus dan berintegriti, selaras dengan kemajuan teknologi serta keperluan industri perfileman negara.-5/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button