
Ini reaksi PM atas desakan MCA gugurkan Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan…
Antara fokus pada rombakan kecil kabinet yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya pasal kedudukan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Bukan rahsia lagi terdapat rungutan terhadap prestasi Ahli Parlimen Nibong Tebal itu dari pelbagai pihak.
Terbaru…Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong secara terbuka gesa Anwar gugurkan Fadhlina Sidek daripada terus menerajui Kementerian Pendidikan dalam rombakan Kabinet.
Menegaskan demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-30, beliau berharap Perdana Menteri mengambil serius suara rakyat yang menuntut perubahan kerana berpendapat Ketua Wanita PKR itu tidak kompiten.
Ditanya wartawan selepas satu majlis di Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur pada Ahad Anwar berkata, perkara itu sekadar cadangan daripada parti berkenaan.
“Saya ucap terima kasih atas pandangan itu .Walaupun pandangan itu baharu, tidak mengapa, itu sekadar pandangan beliau,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri kata, beliau tidak akan tergesa-gesa dalam mengisi kekosongan jawatan dalam Kabinet.
Katanya beliau telah memikirkan nama-nama yang sesuai dan perlu merujuk perkara itu bersama-sama pemimpin parti dalam Kerajaan Madani sebelum sebarang keputusan dibuat.
Perdana Menteri berkata, setakat ini, beliau belum berbincang tentang perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin DAP.
“Saya sedang memikirkannya. Saya tidak terburu-buru dan saya perlu berfikir selepas mendengar (nasihat daripada pemimpin parti).
“Saya belum lagi membincangkan perkara ini dengan semua pemimpin parti. Sudah tentu keputusan muktamad ialah prerogatif saya,” kata beliau.
Ditanya sama ada perkara itu merupakan rombakan Kabinet atau hanya mengisi kekosongan jawatan, Anwar berkata, “mengisi kekosongan … ia menyebabkan rombakan kecil”.- 7/12/2025



