KEMBARA

Malaysia fokus mantapkan sektor pelancongan perubatan

Tourism Malaysia dan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) untuk memperkukuh sektor pelancongan perubatan global menerusi pemeteraian sebagai persediaan strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua agensi untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama yang menggabungkan pengalaman pelancongan dengan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

“Menjelang Visit Malaysia 2026, segmen pelancongan perubatan akan memainkan peranan penting dalam menarik pelawat berkualiti dan meningkatkan hasil pelancongan.

“Kami yakin kerjasama dengan MHTC ini akan membuka peluang pertumbuhan yang bermakna serta mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

MoC itu merangkumi rangka kerja strategik kedua-dua pihak untuk mengukuhkan penjenamaan Malaysia sebagai destinasi perubatan dan kesejahteraan bertaraf dunia.

Kerjasama itu memberi peluang kepada kedua-dua agensi berkenaan untuk menyelaras aktiviti promosi di pasaran utama termasuk ASEAN, Asia Selatan (Bangladesh dan Sri Lanka), Asia Timur (China), Timur Tengah dan Afrika.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah berkata, usaha sama itu akan membantu memposisiskan Malaysia sebagai destinasi yang selamat, boleh dipercayai dan menjadi pilihan utama untuk rawatan perubatan dan kesejahteraan.

“MoC ini direka untuk memperkukuh aktiviti promosi bersama dan memberikan pengalaman lancar kepada pelancong perubatan,” ujarnya.

Menurut Tourism Malaysia, usaha pemasaran bersama dan inisiatif perkongsian data itu mampu menyokong pembangunan pakej pelancongan perubatan yang bersepadu, selain mengukuhkan kehadiran negara di pasaran tersebut.-9/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button