
Saman tertungak tidak jejaskan kelayakan BUDI95 – Loke
Seminggu ini riuh rendah di laman media sosial berkaitan orang ramai akan hilang kelayakan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) jika tak bayar saman tertungak menjelang hujung tahun ini.
Ramai yang terpancing dan maki hamun kerajaan padahal kenyataan sebenar adalah saman tertunggak tidak menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan untuk subsidi BUDI95.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata saman tertunggak dan kelayakan subsidi BUDI95 adalah mekanisme berbeza yang beroperasi secara berasingan, dan kedua-duanya tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik.
“Berdasarkan dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon hendaklah memenuhi syarat asas iaitu warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan mestilah memiliki lesen memandu aktif.
“Lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen yang masih dalam tempoh sah, atau yang tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun,” menurutnya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Loke menasihati orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Terdahulu, beberapa portal melaporkan kononnya mana-mana individu yang gagal menjelaskan saman akan hilang kelayakan manfaat BUDI95. -10/12/2025



