FOKUS

Sila tafsir pendirian PM mengenai desakan iktiraf sijil UEC…

Kalau parti DAP hendak berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mereka perlu hadam apa yang beliau cakap
mengenai isu itu sewaktu di Langkawi pada Jumaat.

Rasanya dalam bahasa mudah kita dapat tafsirkan beliau dengan tegas kata ‘TIDAK’ kepada sebarang langkah untuk iktiraf sijil UEC.

Anwar ditanya isu UEC oleh para wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, Langkawi.

Ia antara lain ekoran Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan Anwar berhubung pengiktirafan UEC.

DAP antara pihak yang sudah sekian lama terus menerus mendesak pengiktirafan Sijil UEC.

Perdana Menteri berkata “Saya nak jelaskan begini – ini Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan.”

“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya sebagai perdana menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Anwar mengingatkan martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, malah penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap UEC boleh dikemukakan.

“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju.

“Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.

“Semua aliran… saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa… dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Anwar menegaskan sebarang cadangan yang menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara dilihat akan membawa kepada masalah.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa haruslah mematuhi prinsip perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu. – 12/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button