Prestasi ekonomi Malaysia kukuh kata IMF… Anwar gembira
Dalam ketidaktentuan dunia, ekonomi Malaysia mendapat pujian langsung daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyatakan Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar.
Mengulas perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik penilaian IMF terhadap prestasi ekonomi Malaysia baru-baru ini.
Merujuk kepada penilaian itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan ekonomi bukan sekadar diurus secara berhemah, tetapi turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Saya menyambut baik penilaian IMF terhadap ekonomi Malaysia.
“Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan kita kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab.
“Sebaliknya, ia mesti dirasai rakyat melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil selain keyakinan yang tinggi terhadap masa depan,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan mempercepat pelaksanaan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau menjelaskan, ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang dibina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pasukan IMF bagi Malaysia, Masahiro Nozaki, prestasi teguh itu sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh, pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Selain itu, ekonomi negara disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan serta kitaran peningkatan sektor teknologi global.
IMF turut memaklumkan bahawa perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang dimeterai pada Oktober lalu membantu mengurangkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan pengguna di negara ini.-20/12/2025



