Kabinet….debaran sudah berlalu

Semua spekulasi dan debaran sudah berakhir.Ini ekoran pengumuman rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Selasa.
Kabinet selepas setahun beliau menarajui Kerajaan Perpaduan menyaksikan jumlah menteri bertambah tiga orang dari 28 jadi 31 sekarang.
Ia menyaksikan pertambahan empat kementerian baharu yakni Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Selain itu turut melibatkan pembentukkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan pertambahan jumlah timbalan menteri daripada 27 kepada 29 orang.
Secara keseluruhan, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan kini merekodkan seramai 60 orang, namun disifatkan masih rendah berbanding pentadbiran sebelum ini iaitu 70 orang.
Satu satunya menteri yang digugurkan dari kabinet ialah V. Sivakumar yang memegang portfolio Menteri Sumber Manusia sebelum ini.
Di luar dugaan ramai pihak Anwar telah memilih bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tokoh korporat, Amir Hamzah Azizan sebagai menteri kewangan II.
Spekulasi kencang meramalkan jawatan itu diberi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sebaliknya Johari dibawa masuk kabinet sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Ia ekoran penyandang sebelum ini iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta bertanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen DAP Damansara, Gobind Singh Deo dilantik Menteri Digital.
Sebelum ini portfolio digital diletakan bawah Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil kekal sebagai sebagai Menteri Komunikasi.
Sementara itu Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO akan bertukar sebagai Menteri Pertahanan menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO ditukar jadi Menteri Luar ganti tempat Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir.
Zambry dilantik Menteri Pendidikan Tinggi.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad dibawa masuk kembali ke dalam kabinet ke jawatan lamanya Menteri Kesihatan.
Bekas pemegang jawatan itu Dr Zaliha Mustapha ditukar ke Jabatan Perdana Menteri jaga Wilayah Persekutuan.
Datuk Armizan Mohd. Ali dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau sebelum ini memangku kementerian berkenaan selepas kematian mengejut Salahuddin.