FOKUS

Najib fail rayuan isu tahanan di rumah dalam Titah Adendum pada 24 Disember

Pada 24 Disember yakni dua hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah…bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan rayuan.

Keputusan berkenaan dibuat pada 22 Disember oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching.

Beliau menolak permohonan Najib selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib mengesahkan bahawa notis rayuan berkaitan Titah Adendum telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 24 Disember.

Susulan keputusan itu, Najib, 72, perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan tempoh hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.

Muhammad Farhan juga beritahu rayuan bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib akan difailkan dalam masa terdekat selepas pihaknya menerima perintah rasmi daripada mahkamah untuk pengesahan.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion kepada Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, mengarahkan agar hukuman itu berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun bagi kes membabitkan SRC International, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.- 29/12/2025

Harapan Najib untuk jalani tahanan rumah hancur…

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi Isnin memutuskan bahawa Titah Adendum agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jalani baki hukuman di rumah atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd TIDAK SAH.

Maka ia tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Beliau memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

“Dalam keadaan ini, berdasarkan alasan yang telah saya kemukakan, titah adendum tersebut bukanlah satu perintah yang sah yang dibuat dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan.

“Saya berpendapat bahawa perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian,” kata hakim itu.

Sementara itu Najib tiba di mahkamah dari Penjara Kajang sekitar jam 8.40 pagi.

Isterinya Rosmah Mansor juga kelihatan masuk ke kompleks mahkamah.

Sebilangan penyokong gamatkan suasana di luar mahkamah dengan laungan sokongan seperti ‘Keadilan untuk Najib’, ‘bebas bossku’ dan ‘Lawan tetap lawan’, sebagai tanda solidariti terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 5 Januari ini bagi memutuskan sama ada Titah Adendum itu akan dikuatkuasakan ke atasnya bagaimanapun keputusan itu dipercepatkan pada 22 Disember. – 22/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button