FOKUS

PAS pecat keahlian tiga ADUN di Perlis

Angin tidak ribut tidak… tiba-tiba negeri paling utara di Semenanjung Malaysia digegarkan dengan isu tarik sokong kepada Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Semua lima ADUN Bersatu Perlis bersama tiga ADUN PAS menyatakan menarik sokongan kepada Mohd Shukri yang merupakan MB daripada PAS pada Jumaat.

Berikutan itu, PAS Pusat malam Rabu memutuskan keahlian tiga ADUNnya di Perlis, terhenti serta-merta.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan perkara itu dalam kenyataan media memaklumkan, tiga wakil rakyat terbabit ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).

“Adalah dimaklumkan bahawa, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada hari ini, Rabu 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025), bahawa ahli-ahli Badan Perundangan PAS yang berikut adalah terhenti serta-merta keahliannya sebagai ahli PAS,” katanya.

Tambah beliau, PAS akan memaklumkan ketetapan itu secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta.

PAS mengadakan mesyuarat tergempar di ibu negara sebentar tadi membincangkan kemelut kepemimpinan Mohd Shukri yang didakwa hilang majoriti sokongan dan kepercayaan daripada lapan daripada 15 ADUN di Perlis.

Ini susulan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat lalu yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.-25/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button