FOKUS

Kabinet baru kekal hingga PRU akan datang

Mereka yang arif dengan sepak terajang politik cukup sedia maklum dalam arena ini tiada jaminan apa saja akan kekal.

Soalnya sekarang apakah kabinet Kerajaan Perpaduan yang dirombak selepas setahun berkuasa ini mempunyai jangka hayat yang panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan rombakan itu di pejabatnya di Putrajaya Selasa telah beri gambaran ia akan kekal hingga pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas soalan wartawan sama ada rombakan Kabinet itu akan dilakukan secara tahunan memandangkan perubahan itu berlaku selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

“Saya harap insya-Allah (kekal) kalau prestasi baik dan memuaskan selain tiada tekanan atau masalah baharu seperti isu transformasi digital.

“Saya tidak fikir harus ada perubahan untuk kita ada rencana untuk empat tahun akan datang sehingga pilihan raya umum,” katanya.

Katanya, rombakan Kabinet dibuat bertujuan memberi sedikit penyesuaian selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Anwar berkata, keadaan juga perlu berubah seiring perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat dan soal penerimaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Isu pendidikan, pendidikan tinggi terutama dalam urusan meneroka bidang baharu seperti kecerdasan pintar (AI) dan transformasi digital menyebabkan saya berfikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian sesuai keadaan dan tuntutan semasa.

“Setelah berbincang dengan ketua-ketua parti dan komponen, maka saya buat beberapa cadangan sebelum persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan,” katanya.

Menerusi rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri hari ini, seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching.

Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala, jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan Jemaah Menteri ini masih lagi rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran sebelum ini. – 12/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button