
Kerajaan kekal kadar tol 2026 bukti fiskal negara semakin kukuh
Keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol bagi tahun hadapan disifatkan sebagai langkah signifikan dalam usaha mengekang tekanan kos sara hidup, selain mencerminkan kedudukan fiskal negara yang semakin kukuh.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu menunjukkan hasil positif daripada usaha konsolidasi fiskal kerajaan yang dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata peluasan asas cukai serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi telah mewujudkan ruang kewangan yang lebih stabil, sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada bantuan yang lebih bersasar.
“Kedudukan kewangan kerajaan kini semakin mengukuh dan terdapat ruang untuk menyalurkan sebahagian penjimatan itu kepada bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat.
“Kerangka mengekalkan kadar tol bagi 2026 merupakan usaha untuk meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup, selain membuktikan kejayaan konsolidasi fiskal sepanjang tiga tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat, malah memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi secara keseluruhan.
Terdahulu, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan supaya kadar tol bagi 10 konsesi lebuh raya dikekalkan pada tahun hadapan.
Beliau berkata perincian mengenai konsesi lebuh raya yang terlibat akan diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat.-28/12/2025



