TAHUKAH ANDA

Kebakaran menara komunikasi… MCMC aktifkan WiFi satelit di RnR

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara bagi memastikan pengguna lebuh raya mempunyai akses komunikasi.

MCMC memaklumkan langkah kecemasan itu susulan kebakaran sebuah menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, petang semalam.

Menurut MCMC, akibat kejadian kebakaran tersebut, liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile turut terjejas.

“Gangguan liputan turut menjejaskan beberapa kawasan sekitar termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor, selain R&R Sungai Perak, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS).

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Tambah MCMC, punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi kejadian ditutup bagi membolehkan pihak berkaitan termasuk bomba menjalankan siasatan lanjut.

MCMC turut mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan memperketat penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara demi kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna.-29/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button