
Siasatan rasuah: Pelantikan PAT ditangguh, Azhan Md Othman PTD baru
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31, berkuat kuasa esok.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-631 yang bersidang pada 19 Nov lepas dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Dis lepas.
“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM) serta meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata pelaksanaan keputusan Mesyuarat MAT ke-631 berhubung pelantikan PTD Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) telah ditangguhkan.
“Beliau diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau.
“Sehubungan itu, tugas PAT akan dipangku oleh Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, sebagaimana pengumuman yang telah dibuat pada 27 Dis,” katanya.
Mohamed Khaled berkata langkah-langkah itu diambil bagi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM di samping memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara terus berada pada tahap tertinggi.
Pada Sabtu lepas, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain bercuti serta-merta sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.
Sebelum itu, media melaporkan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan ATM disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – 31/12/2025
SPRM sita akaun bank, geledah kediaman, pejabat pegawai kanan Mindef
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika mengesahkan perkara itu, berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.
“Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan… enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini,” katanya.
Sementara itu, sumber memaklumkan siasatan SPRM kini memfokus kepada aliran wang disyaki masuk ke akaun milik seorang pegawai kanan Tentera Darat, yang kini disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah tersebut.
Beliau berkata SPRM telah menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kediaman rasmi suspek dari 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Dis lepas.
“Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan,” katanya.
Sumber turut memaklumkan bahawa suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan tetap diteruskan dengan memanggil saksi utama membabitkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat.
“Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat dan jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang,” katanya.
Sumber turut mendedahkan bahawa SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah, dan siasatan dijalankan secara berperingkat.
SPRM dijangka terus memperluas siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.
Selasa lepas, pegawai SPRM telah hadir ke MINDEF, dan tumpuan terarah kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
- Bernama – 29/12/2025
Panglima Tentera Darat diarah cuti serta merta sehingga siasatan babitkan dirinya selesai
Perkembangan ini sudah tentu mencuri perhatian ramai.Apa tidaknya ini kali pertama seorang pegawai tinggi tentera bertaraf Panglima Tentera Darat diarah bercuti serta merta sehingga siasatan membabitkan dirinya selesai.

Soal ada kes atau tidak itu semuanya bergantung kepada hasil siasatan.
Siasatan berkenaan melibatkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beliau dilantik mengetuai cabang penting Angkatan Tentera Malaysia itu mulai 6 September 2023.
Jeneral Muhammad Hafizuddeain memulakan karier dalam tentera sebagai pegawai kadet pada 19 Ogos 1986.
Pengumuman mengenai arahan cuti serta merta itu dibuat menerusi satu kenyataan oleh Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada Sabtu.
“Bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan, beliau (Muhammad Hafizuddeain) akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Kenyataan berkenaan tidak menyebut siasatan itu berkaitan kes apa.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kemudian mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semakan awal SPRM turut mendapati beberapa syarikat berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan dengan tumpuan siasatan terhadap projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Hasil siasatan SPRM menunjukkan antara 2023 hingga 2025, Tentera Darat melaksanakan 158 projek perolehan bernilai lebih RM500,000 manakala perolehan bernilai bawah RM500,000 melibatkan 4,521 projek.
Setakat 24 Disember lepas, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.- 27/12/2025



