FOKUS

Muhyiddin kata beliau masih Presiden Bersatu dan kekal rakan setia PN

Ketika pelbagai tandatanya berlegar mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas umum letak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa 1 Januari 2026…beliau tampil menerusi laman sosial pada Jumaat untuk isytihar ” saya masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden.”

Dalam kenyataan bertajuk Pesanan Presiden Bersatu Sempena Tahun Baru bekas Perdana Menteri itu kata walaupun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN.

Menurutnya kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.

Serentak itu Muhyiddin menyeru seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti.

“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.

Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.

Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,”katanya.- 2/1/2026

Muhyiddin letak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional

Setelah melalui ‘perang dingin’ dalaman yang panjang Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa umum meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa 1 Januari.

Beliau buat pengumuman itu menerusi satu kenyataan tiga perenggan.

Namun kenyataan itu tidak menyebut tentang kedudukan beliau sebagai Presiden parti Bersatu.

Kalangan pemerhati politk menilai peletakan jawatan itu ada kaitan dengan pelbagai desakan pemimpin PAS terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN susulan kemelut politik di Perlis hingga bawa perletakan jawatan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Dalam krisis itu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN PAS serah akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri Ramli.

Tiga ADUN dari PAS itu ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji.

Raja Perlis kemudian berkenan melantik ADUN Kuala Perlis dari BERSATU, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis baharu.

Sementara itu kemelut kepimpinan dalam Bersatu juga semakin panas antara puak yang sokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan mahu beliau ambil alih kepimpinan.

PAS dikatakan menyokong kepimpinan Hamzah.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari yang juga ahli parlimen Pasir Mas sambut perletakan jawatan Muhyiddin sebagai satu tindakan yang bijak dan tepat dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16.

Katanya PAS pasti akan mengemukakan calon untuk menerajui gabungan itu namun tidak semestinya Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tidak semestinya presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional.

PAS sebelum ini pernah mengetengahkan Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS sebagai calon berpotensi Perdana Menteri. – 30/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button