TAHUKAH ANDA

MCMC kuat kuasa ONSA, lindungi pengguna khususnya kanak-kanak

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mula berkuatkuasa 1 Januari, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan berkata, ONSA menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Menurut MCMC, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

“ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu. MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah seksyen 46A, AKM 1998 berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA,” jelas MCMC.

Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, langkah-langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian.

Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian di Malaysia, MCMC menegaskan kekal komited untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

“Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati di laman sesawang MCMC”, akhiri kenyataan itu.-2/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button