
ONSA bukan penyelesaian mutlak tapi intervensi kurangkan kemudaratan – Pakar
Apakah ONSA atau Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) undang-undang yang mula terlaksana di negara ini sejak 1 Januari 2026?
ONSA adalah jawapan kerajaan terhadap masalah baharu yang dihadapi seluruh dunia ketika ini, iaitu ancaman siber khususnya kepada kanak-kanak.
Ini merupakan langkah proaktif kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara serta melindungi pengguna daripada pelbagai ancaman di alam maya, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Menurut Pensyarah Kanan dan Penyelaras Penyelidikan Fakulti Komunikasi Universiti Xiamen Malaysia, Dr. Safrena Noreen Abd Malek berkata, media sosial pada masa kini bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya menjadi ruang pembentukan nilai, identiti serta potensi konflik sosial dan risiko keselamatan.
Menurut beliau, ONSA berfungsi sebagai mekanisme intervensi bagi mengurangkan kemudaratan dalam dunia digital, termasuk menangani isu buli siber, penyebaran kandungan tidak bermoral, penipuan kewangan secara sistematik serta tekanan psikologi dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.
“ONSA bukanlah penyelesaian mutlak tetapi merupakan alat intervensi bagi mengurangkan kemudaratan dan kita juga perlu tahu, kebebasan bersuara bukanlah kebebasan mutlak. tetapi memerlukan kawalan.
“Akta ini tidak seharusnya dilihat sebagai alat kawalan semata-mata tetapi sebagai pemangkin untuk perbincangan intelektual tentang masa depan ruang awam digital,” katanya dalam satu wawancara dengan media tempatan.
Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan akta itu menekankan tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan platform digital. Ibu bapa digalakkan memantau penggunaan peranti pintar, tablet, permainan dalam talian serta tontonan video anak-anak.
Manakala platform digital diwajibkan mengambil langkah proaktif mengawal kandungan berbahaya agar tidak tular dan menjejaskan pengguna.
Safrena berkata, akta tersebut memberi isyarat jelas bahawa keselamatan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama, selain menuntut platform digital bertindak lebih bertanggungjawab dalam memastikan kandungan di platform masing-masing tidak memudaratkan serta tidak dibiarkan tersebar tanpa kawalan.
Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan mekanisme undang-undang yang mengutamakan keselamatan kanak-kanak sebagai golongan rentan dalam ekosistem digital.
Penguatkuasaan ONSA diyakini mampu mewujudkan ekosistem digital negara yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat mengimbangi kebebasan bersuara serta perlindungan pengguna.
Usaha tersebut dijangka memberi kesan positif bukan sahaja kepada kanak-kanak dan remaja, malah kepada seluruh masyarakat dalam memastikan ruang digital menjadi lebih selamat dan bermanfaat.-2/1/2026



