
Kerajaan Perpaduan tidak goyang dengan spekulasi usaha untuk hidupkan semula Muafakat Nasional…
Sejak wujudnya isu dalaman Bersatu dan PAS kerana krisis di Perlis baru-baru ini …antara isu hangat yang berlegar ialah wujudnya cakap-cakap untuk menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS.
Namun bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim Kerajaan Perpaduan tidak goyang dengan isu ini.
“Tapi yang penting sekarang kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah berikan pandangan untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi, bela nasib rakyat sehingga PRU akan datang.
“Jadi soal orang yang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu bukanlah masalah saya,” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.
Ditemui wartawan di Petaling Jaya, Selangor hari ini beliau bagaimanapun menilai isu berkenaan belum serius.
“Saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing,”katanya.
Ditanya sama ada pergolakan dalam kalangan pembangkang memberi kelebihan kepada kerajaan, Anwar enggan mengulas lanjut.
“Itu masalah mereka, tak campur. Cerai-berai ini bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya lagi.
Spekulasi mengenai usaha perdamaian antara Umno dan PAS di bawah panji MN — sebuah kerjasama yang dibentuk pada 2019 — timbul susulan hubungan tegang antara PAS dan Bersatu dalam PN mutakhir ini.
Di pihak Umno, antara yang menyokong usaha tersebut ialah Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh, manakala di pihak PAS, cadangan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Bagaimanapun Ahmad Fadhli meletakkan syarat agar Umno memutuskan hubungan dengan DAP.- 2/1/2026



