TAHUKAH ANDA

Perdana Menteri terharu sambutan luar biasa peluncuran I LITE YOU

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu sambutan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan pelancong asing terhadap peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan ke arah Kelestarian Bandar (I LITE YOU) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu membuktikan bahawa usaha memperindah Kuala Lumpur berupaya memperkukuh daya tarikan Malaysia di mata dunia.

“Saya terharu melihat sambutan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan pelancong asing terhadap peluncuran I LITE YOU dan perarakan yang dipersembahkan, yang membuktikan bahawa usaha memperindah Kuala Lumpur ini berupaya memperkukuh daya tarikan kita di mata dunia.

“Alhamdulillah, industri pelancongan negara terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Keamanan, keharmonian serta kepelbagaian budaya yang kita pelihara bersama kekal menjadi kekuatan dan tarikan utama pelancong asing ke Malaysia.

“Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ikon dunia kebanggaan negara, Tan Sri Michelle Yeoh, yang juga bintang Asia pertama menerima Anugerah Oscar,” katanya di facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau kagum dengan perkongsian Michelle yang merupakan anak kelahiran Ipoh tentang disiplin, ketekunan dan keberanian mengejar cita-cita.

Katanya, ia harus menjadi inspirasi khususnya buat anak-anak muda untuk bekerja keras secara konsisten dan berpegang pada semangat untuk mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Tambah beliau, sambutan malam tadi juga membuktikan bahawa kekuatan kreativiti, bakat dan disiplin anak bangsa mampu mengangkat Malaysia sebagai negara yang hebat, diyakini dan disegani di mata dunia.-4/1/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button