KEMBARA

Konsulat Malaysia serah bantuan kepada mangsa banjir di Aceh kali ketiga

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, dengan kerjasama Mercy Malaysia, menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada 125 keluarga di Kota Lintang Bawah, Kuala Simpang, di Aceh Tamiang, Indonesia.

Konsul Jeneral, Shahril Nizam Abdul Malek berkata bantuan itu merupakan penyerahan kali ketiga di bawah program Peduli Bencana Banjir.

Beliau berkata bantuan yang diagihkan Jumaat lepas itu merangkumi bakul makanan dan peralatan pembersihan bagi membantu mangsa banjir memenuhi keperluan segera serta memulakan kerja pembersihan sisa bencana.

Menurutnya, Kota Lintang Bawah merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas, dengan sebahagian besar daripada kira-kira 800 rumah musnah akibat banjir, manakala hanya beberapa buah rumah mengalami kerosakan ringan.

“Kampung ini terletak di kawasan tebing sungai. Apabila banjir berlaku, kayu balak yang dihanyutkan arus akan terkumpul dan merempuh rumah penduduk di sini,” katanya.

Shahril Nizam berkata, konsulat turut mengadakan perbincangan dengan pegawai tempatan pada hari penyerahan bantuan bagi menyelaras proses prapemulihan.

Ini termasuk usaha membangunkan semula kemudahan kesihatan untuk komuniti setempat, termasuk 12 kemudahan yang musnah sepenuhnya akibat bencana.

“Kami sedang berusaha menubuhkan sebuah pusat yang akan dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan asas sebuah klinik,” katanya.-5/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button