
SPRM sita 23 jam Rolex di rumah isteri kedua bekas pegawai TDM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua kepada seorang bekas pegawai tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menurut sumber, penggeledahan yang dijalankan pagi tadi itu turut menemukan dua bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan mewah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.
“SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seseorang yang dipercayai bersubahat dan dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000,” menurut sumber berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, media melaporkan bekas pegawai TDM yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan pasukan keselamatan itu direman tujuh hari bermula 8 Jan lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, seorang daripada isterinya yang turut ditahan SPRM pula direman enam hari, manakala seorang lagi isterinya direman tiga hari.
Semalam, turut dilaporkan SPRM menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6.9 juta susulan siasatan projek tender perolehan TDM.
Pada 23 Dis lalu pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
- Bernama -10/1/2026



