Uncategorized

Sultan arah tindak tegas program dan pertubuhan LGBT di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang yang dianjurkan di dalam negeri tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan bersama pada Isnin.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin telah menitahkan tindakan tegas diambil terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.

“Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.

“Baginda tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan NGO yang berkaitan dengan LGBT di Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, selaras titah tersebut, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan tentangan terhadap penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang di mana-mana daerah di negeri Selangor.

“MAIS dan Sahibus Samahah Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S.

“Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang serta tidak mengeluarkan permit bagi program seumpamanya di Negeri Selangor.

“JAIS, PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan,” katanya.-13/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button