
Kerajaan MADANI tekad perkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif – PM
Kerajaan MADANI akan terus membulatkan tekad untuk memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan melalui semangat musyawarah antara negeri serta berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua itu akan didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia MADANI, demi kesejahteraan umat serta keharmonian negara yang berpanjangan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-74 yang berlangsung pada Selasa.
Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pada masa sama, Anwar turut menghargai nasihat tuanku dalam membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam di negara ini.
“Titah dan nasihat Tuanku yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam mendepani cabaran semasa.
“Mesyuarat ini turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam.
“Ia selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk Malaysia,” katanya lagi.-14/1/2026



