Fahmi nafi minta X padam hantaran kecaman

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Khamis menafikan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengarahkan platform X memadam hantaran mengecamnya berhubung rombakan kabinet baru-baru ini.
Fahmi berkata beliau sendiri, pejabat dan kakitangannya, tidak pernah membuat laporan berhubung perkara itu, malah suruhanjaya itu bebas untuk membuat apa-apa tindakan tanpa perlu merujuk beliau.
“Saya hanya mahu jelaskan bahawa MCMC menerima laporan daripada sesiapa sahaja, orang awam.
“Saya belum berbincang dengan MCMC mengenai perkara tersebut, tetapi secara amnya MCMC tidak merujuk kepada saya sebelum mengambil tindakan.
“Mereka bebas untuk ambil tindakan. Jadi kadang-kadang mungkin orang awam yang melaporkannya.
“Saya tidak terkesan dengan hantaran ini, saya tiada masalah dia nak cakap macam itu dan saya dan pejabat saya tiada membuat laporan kepada MCMC berhubung isu tersebut.
“Jadi ada yang menuduh seolah-olah saya (buat laporan), saya sahkan saya tak tahu pun,” katanya mengulas laporan sebuah portal yang menyatakan kerajaan didakwa melapor kepada platform X, untuk meminta hantaran yang mengecam seorang menteri diturunkan.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas menyempurnakan majlis pelancaran Setem Khas Palestin Merdeka oleh Pos Malaysia.
Fahmi berkata ketika ini, kementeriannya lebih memfokuskan isu yang lebih penting, seperti berkaitan membanteras perjudian haram dalam talian, berita palsu serta isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Tegas Fahmi, disebabkan itu, perkara berkenaan sama sekali tidak menjejaskan tumpuannya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan Google minggu hadapan untuk membincangkan isu berhubung kandungan lucah yang boleh diakses menerusi laman penstriman Youtube, memandangkan dapat laporan berkaitan perkara tersebut diterima.- Bernama-14/12/2023