Uncategorized

KJ dan Nazri Aziz hadir di Perhimpunan Pemuda UMNO…

Biduk lalu, kiambang bertaut… Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin curi perhatian ramai semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada pagi Khamis.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nazri Aziz yang merupakan bekas Pemangku Ketua Pemuda UMNO.

Akmal sendiri mengundang Khairy dan Nazri ke perhimpunan itu.

Beliau menyifatkan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ sebagai antara tokoh penting yang sentiasa dihormati oleh sayap parti berkenaan.

Katanya kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu bukan saja dinanti-nantikan, malah akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan Pemuda UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Pemuda UMNO mendapat suntikan semangat kerana KJ adalah antara tokoh yang kami hormati dan sudah pasti persidangan esok akan lebih bermakna dengan kehadiran beliau,” katanya.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, Perhimpunan Pemuda UMNO kali ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kesatuan, memperjelas hala tuju serta membina keyakinan generasi muda terhadap peranan UMNO dalam landskap politik semasa.

Katanya, pendirian Pemuda UMNO di bawah kepimpinannya kekal konsisten untuk mengutamakan prinsip perjuangan parti, meskipun berdepan pelbagai tekanan dan polemik politik sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini, saya sudah menegaskan Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dalam soal prinsip, maruah parti dan suara akar umbi.

“Kami tidak gentar ditekan atau dicabar kerana Pemuda UMNO pantang berundur.

“Serentak itu, kami akan terus bersikap tegas dan berani menyuarakan pandangan, termasuk menegur kepemimpinan secara berhemah demi memastikan UMNO kekal relevan dan diyakini rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap perhimpunan kali ini dapat menjadi titik penyatuan semua pihak, khususnya generasi muda parti, untuk bergerak seiring menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum akan datang.

Perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bermula Rabu malam dengan perasmian disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka WTC.-15/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button