SUARA PEMBACA

STR Fasa 1 bernilai RM1.1 bilion mula disalur 20 Januari – MOF

Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan bermula 20 Januari depan, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Bantuan berkenaan memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, individu yang layak akan menerima antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori masing-masing.

“Kerajaan telah menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026.

”Di bawah penambahbaikan ini, lebih 8 juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.

”Ia menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat.” jelas MOF dalam kenyataan sama.

Tambah MOF, STR juga diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

Kementerian turut memaklumkan, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, kekal tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Pendekatan bersepadu tersebut memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara tersusun, stabil, dan berkesan, selain memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.

“Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

”Apabila rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih berdaya dan lestari,” tambah kenyataan itu lagi.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, MOF menjelaskan, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan. Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

Menurut kenyatan itu lagi, bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan dan rekod bekerja atau menetap di luar negara.

MOF dalam pada itu menegaskan, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.-15/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button